Sungai adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai yang diberikan kepada kita. Anugerah yang cukup sempurna fungsinya terhadap kita untuk menempuhi kehidupan seharian. Namun, kita sebagai manusia dan hamba-Nya tegar dengan anugerah yang tidak ternilai ini dengan sikap dan tingkah laku kita sendiri terhadap kurniaan-Nya.
Pencemaran sungai ini merupakan satu isu yang sangat serius terhadap kita pada masa kini, kerana ia adalah nadi kehidupan manusia. Tanpa sungai, tidak dapatlah kita, manusia mengharungi kehidupan seharian kita yang sememangnya sentiasa memerlukan sumber air untuk mandi,makan,minum,mencuci baju, dan sebagainya. Secara umumnya, sungai-sungai di Negara kita terbahagi kepada 5 kelas, iaitu kelas pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima. Bagi kelas pertama, air yang tidak perlukan rawatan, namun masih boleh lagi diminum. Kelas yang kedua, air itu memerlukan rawatan yang biasa. Yang ketiga, air kelihatan bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya tercemar dan orang ramai tidak boleh melakukan aktiviti riadah seperti mandi sungai, dan berkelah. Kemudian bagi kelas keempat dan kelima, sungai tercemar dan hampir mati, Secara jelasnya, keadaan sungai bagi kedua-dua kelas ini adalah berwarna hitam dan berbau busuk.
Pada tahun 2007, 16 batang sungai di Negara kita telah diklasifikasikan sebagai tercemar dan ‘hampir mati’. Hampir keseluruhannya berada di kawasan Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor. Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang adalah kekal dalam senarai-senarai sungai yang tercemar di Negara kita pada masa kini. Pada 3 Mei yang lalu, di dalam akhbar Utusan ada mengeluarkan artikel ‘Pencemaran sungai kritikal’, intipatinya menyatakan, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, sungai kelas pertama di Negara kita semakin berkurangan, manakala sungai kelas kelima pula semakin meningkat. Lihatlah, betapa kritikalnya situasi sungai kita pada zaman ini.
Lihat sahaja sungai-sungai yang berada di kawasan Bandar di Negara kita..? kelihatan air sungainya berwarna hitam, keruh, dan mengalir lesu dek kerana sampah sarap yang dibuang oleh manusia yang tidak berdisiplin dan mementingkan diri sendiri untuk mencari jalan pintas. Ditambah pula dengan aktiviti pembangunan tanah dan sumber asli, seperti pembalakan, pembinaan jalan raya,pembangunan bandar dan pembinaan projek-projek perumahan serta perindustrian yang mana menimbulkan masalah hakisan tanah, sungai tercemar dan mendap. Lebih memburukkan lagi, apabila sikap pendatang asing,di mana mereka membawa sikap mereka di Negara sendiri yang suka membuang sampah di dalam sungai ke dalam Negara kita dengan menjadikan kawasan tebing sungai sebagai kawasan penempatan mereka.Oleh itu, pihak kerajaan harus melakukan sesuatu seperti merobohkan penempatan haram di tebing-tebing sungai. Lazimnya, aktiviti-aktiviti seperti ini akan segera diambil tindakan apabila media membuat pendedahan, terutamanya aktiviti perindustrian dan pembalakan. Jika tidak, hanya hukuman seperti kompaun sahaja dikenakan, dan sekaligus menggalakkan lagi aktiviti-aktiviti seperti ini terus dijalankan tanpa batasan kerana tiada kesedaran yang timbul dari dalam diri mereka, maka tidak hairanlah jika satu hari nanti nadi kehidupan kita ini akan mati dek sikap manusia sendiri.
Di dalam RMK-9(Rancangan Malaysia kesembilan), kerajaan telah memperuntukkan RM500 juta bagi tujuan memulihkan keadaan sungai kita yang tercemar. Namun, menurut Dr. Ahmad Zaharin Aris, jumlah itu sememangnya sudah cukup besar, malangnya, ia masih tidak mampu menampung kos pembelanjaan memulihkan pencemaran sungai di seluruh Negara, kerana kos bagi tujuan pemulihan sungai adalah diantara RM 100 juta hingga RM 400 juta. Secara tidak langsung, kita sebenarnya telah membantutkan kemajuan ekonomi Negara kita yang sepatutnya digunakan untuk keperluan yang lain seperti penyediaan kemudahan infrastruktur untuk penduduk. Menurut beliau lagi, punca lain yang menjadi penyumbang kepada pencemaran sungai kita adalah sisa dari ladang ternakan babi, di mana ia dilepaskan ke dalam sungai yang menyebabkan sungai itu ‘mati’. Beliau juga tidak ketinggalan membangkitkan rasa kesal beliau terhadap rakyat kita yang kian menjadikan sungai sebagai ‘tong sampah’ mereka.
Kempen “sayangi sungai”. Masih ingatkah anda semua mengenai kempen ini..?? yang telah bertahun lamanya dijalankan oleh kerajaan yang merangkumi pelbagai usaha seperti memantau, memelihara , membersih, dan mengindahkan semula sungai yang kian tercemar. Namun, apakah kesudahannya? Sungai kita masih lagi setia mengalir bersama sampah sarap, bahan kimia dan sebagainya, yang akhirnya memberi kesan kepada diri kita sendiri. Lihat sahaja isu yang baru berlaku di Maran, Pahang baru-baru ini,enam penduduk kampung yang terlibat dalam operasi menyelamatkan seorang mangsa lemas di Hutan Lipur, Lubuk Yu, meninggal dunia dalam tempoh seminggu selepas operasi itu, ia berpunca daripada bakteria air dan tanah. Lihat? Kita sering merungut dan mengeluh apabila air kotor, berkarat, dan sering menyalahkan pihak kerajaan yang tidak tahu menyelesaikan masalah ini semaksima yang boleh. Namun, tidak- kah kita terfikir bahawasanya semua itu berpunca dari sikap kita sendiri yang kurang peka terhadap sungai kita.?
Secara konklusinya, pencemaran sungai ini masih tiada lagi penghujungnya. Ya, inilah hakikatnya. Ia kerana mentaliti kita sendiri masih lagi berada di takuk yang lama, dan sampai bila kita harus membiarkan fikiran dan sikap kita berterusan begini.? Tepuk dada, tanyalah selera. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana sikap kita, sungai kita tiada lagi nilainya..
penulis: NOOR SYUHAIDAH ABD ZAWAWI
editor : NOOR SYUHAIDAH ABD ZAWAWI ;)(803 patah perkataan)
No comments:
Post a Comment